
Budaya Malaysia sinonim dengan 2 perkara ini
1) berbilang kaum (mesej tersirat: unik, aman dan toleransi)
2) peramah (mesej tersirat: mudah menyapa, tidak sombong, ingin berdamai/ berkawan/ mengenali
Jika diamati kedua interpretasi di atas dan dihubungkan ia dengan pengalaman diri anda sendiri, kebarangkaliannya, anda cukup faham dan sudah menyelami budaya ini sekian lama nya. Budaya ini begitu normal dalam masyarakat kita dan oleh itu, jika terjatuh ke zon ‘tidak normal’ di mana budaya ini tidak diterapkan, akan berlaku satu pertelagahan di dalam fikiran kita. Ini uniknya budaya Malaysia.
Cara ekspresi budaya sesebuah negara pada pandangan daif saya, bergantung kepada konteks dan cara seseorang itu dibesarkan, ini termasuk nilai budaya dan/atau agama yang diterapkan sewaktu proses membesar. Dan kedua, adalah ‘environment’ itu sendiri. Di Malaysia, atau mana-mana negara di Asia Tenggara, ada satu ekspresi budaya yang tidak asing lagi, iaitu budaya senyum. Budaya senyum ini bunyi cukup universal. Pada tatapan pertama, senyuman itu membawa maknanya tersendiri. Semudah itu sehinggakan boleh mengubah emosi dan jiwa seseorang dari kurang baik, ke tahap emosi yang lebih baik.
Perbicaraan tentang senyuman, atau budaya senyum tidak berhenti di situ sahaja. Para penyair dan karyawan samaada penulis ,pelukis, penyajak dan juga ahli musik acap kali menerapkan elemen senyuman dalam hasil nukilan mereka. Bukankan senyuman itu satu ekspresi dan makna yang baik dan positif. Para penyelidik juga tidak ketinggalan dan terus ingin tahu, dan menambah ilmu tentang bagaimana senyuman itu begitu penting bagi kebanyakan budaya, dan mungkin kurang penting bagi sesetengah budaya negara lain. Kajian mendapati, persepsi atau interpretasi tentang senyuman adalah berbeza dari satu budaya ke satu budaya lain (Krys et. al, 2016). Namun, di dalam konteks perbicaraan saya ini, yang ingin diketengahkan adalah, senyuman itu adalah penting, bukan sahaja sebagai pembuka bicara, malah ia penting untuk memberikan keselesaan kepada sesiapa yang bersua dengan kita.
Surat khabar di Malaysia telah beberapa kali menerbitkan artikel tentang senyuman, aplikasi dan implikasinya dalam masyarakat kita. NST pada 2016 melaporkan kadar ‘drop out’ atau tidak menghabiskan sesi persekolahan bagi Orang Asli adalah 17.9% berbanding 20% pada tahun sebelumnya. Dalam laporan tersebut, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kejutan budaya dan ketidakbolehan berkomunikasi dengan ‘orang luar’ sebagai punca utama anak-anak Orang Asli ini tidak menghabiskan sesi persekolahan. Dalam laporan NST berasingan pada 2017, dinyatakan guru-guru Orang Asli telah ditempatkan di Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) kerana guru-guru Orang Asli lebih memahami budaya dan gaya hidup pelajar-pelajar Orang Asli.
Di sektor perkhidmatan awam pula, initiatif seperti 8S semasa berurusan dengan pelanggan (Salam, Sayang, Segak, Segera, Sempurna, Sensitif, Senyum dan Sopan) dan pemantapan budaya senyum dalam buku panduan pengurusan pelanggan di bawah ciri kualiti ‘Mesra dan Adil’ (Mampu, 2008) . Prestasi yang dinilai adalah ‘ memberikan perkhidmatan dengan senyuman’.
Banyak lagi manfaat senyum jika dibincangkan, tetapi cukuplah setakat ini ulasan tentang senyum yang ‘dilaporkan’. Benarkan saya 2-3 minit untuk berkongsi aplikasi ‘senyuman’ ketika saya menghadiri sebuah majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini. Temanya ? Senyum !
Juara Senyum merupakan satu initiatif yang menerapkan elemen senyuman secara langsung di dalam program-program yang dikendalikan. Pada 22 Oktober lepas, program Semoga PC dan Wakaf Talam telah diadakan di TTDI. Di antara objektif program ini adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Rumah Kasih Harapan, Kota Damansara melalui 2 metodologi 1) sumbangan wakaf dari penderma-penderma kepada Rumah Kasih Harapan dan 2) jamuan (hasil sumbangan/tajaan) buat anak-anak ini serta tetamu yang hadir . Tetamu yang hadir dijemput untuk bersama anak-anak untuk menikmati juadah di atas talam (communal eating). Acara makan disusuli dengan acara utama iaitu ‘Juara Senyum’ kendalian Pot Amir (Innuendo). Yang mengambil bahagian adalah anak-anak ini, di mana mereka perlu senyum (dan tidak berhenti senyum!) sehinggalah lagu yang dimainkan mengiringi pertandingan ini tamat. Petanding yang tinggal digelar sebagai juara ! Tidak cukup dengan itu, anak-anak ini dijamu lagi dengan ais-krim. Begitu cantik dan simbolik memberikan ais-krim, kerana seperti senyuman, ia adalah 2 santapan yang cukup digemari oleh anak-anak (dan juga dewasa!).
Bagi kebanyakan kita yang sudah jauh tersasar dari budaya senyuman dan berkasih sayang dalam kehidupan harian kita,nada program ini mungkin agak janggal. Yang lazimya, program kebajikan tampak dari bentuk fizikalnya sahaja seperti program mengutip atau membina dana, bagi membantu golongan sasaran. Dengan program yang baru saya kenali ini, minda dan hati terbuka adalah syarat untuk memahami initipati dan kepentingan program seperti ini diadakan iaitu tidak lain tidak bukan untuk membudayakan senyum. Ingat, senyum itu pembuka bicara. It breaks barrier and silence.
Penaja dan pihak-pihak yang terlibat sama untuk program ini : Pot Amir, Semoga, AlMawlid Ensemble (AE), Harum, Synergy Spec, Innate, Deleum Primera Sdn Bhd, Mukha, Has catering, Skunk Design, ROTTW dan Tenggara Performers Club
Susulan program Wakaf Talam anjuran Tenggara PC dan Harum di Mukha Cafe TTDI, penganjur program telah berada di Kampung Champa Vietnam pada 1-5 November 2017 untuk mengendalikan acara ‘Semoga Juara Senyum’ bagi masyarakat di sana.
Kepada pihak penganjur dan para penyumbang dana yang terlibat menjayakan program Wakaf Talam dan Juara Senyum ini, tahniah diucapkan. Semoga jasa baik dan budi anda semua diberkati Ilahi dan dibukakan lagi pintu rezeki bagi anda semua.
-missjewelz-
8 November 2017, KL.
Anda mungkin berminat untuk membaca lebih lanjut tentang :-
- Kuasa Senyuman, Utusan Malaysia, 15 Jun 2017
- Amalkan Budaya Senyuman, Utusan Malaysia, 3 Ogos 2016
- It’s Good to Smile, NST, 7 October 2016
- Reducing Orang Asli school dropout rate; 1st batch of teachers from IPG set to help, NST, 18 October 2017
- Exploring the school dropout factors among Indigenous students in Melaka
Leave a Reply